Kami beli rumah yang kami duduk ni pada awal tahun 2000. Masa dalam tempoh bertunang. Risau tak ada tempat tinggal sebab Adik lelaki hendak berkahwin lepas aku. Biasalah rumah mak.. Anak 9 orang ... sorang kahwin duduk dengan emak..lepas tu kenalah keluar sebab yang lain nak kahwin pulak..
Koinsiden jer masa tu..jalan-jalan di Semua House. Nampak promosi. Lagipun mana nak cari rumah double storey harga yang murah. RM120K aje ! Itu cerita 10 tahun lepas.. Pemaju janji macam-macam masa nak jual... Kami beli tanpa pergi jengok kawasan tu.. Rawang pun aku tak pernah sampai!
Semalam ada demontrasi bantahan penduduk. Abi join sekali. Geram, bengang dan macam-macam pun ada.
* wikimapia map
Oleh Yusmawati Mhd Yusof
RAWANG: Penduduk di Bandar Tasik Puteri (BTP) di sini, terpaksa menunggu hampir tiga tahun lagi sebelum janji pemaju untuk membina laluan susur keluar dari kawasan perumahan itu ke Lebuhraya Kuala Lumpur - Kuala Selangor (KLKSE) terlaksana.
Jangka masa itu dinyatakan pemaju, dalam satu sesi dialog selama dua jam membabitkan penduduk, pemaju, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), KLKSE Berhad, dan Majlis Perbandaran Selayang yang diadakan semalam.
Bagi penduduk, janji mulut yang dinyatakan pemaju tidak memadai kerana mereka memerlukan perjanjian hitam putih yang membolehkan mereka berasa terjamin dengan janji yang ditabur pemaju.
Wakil penduduk, Mohd Raffie Abdullah, 47, berkata dia masih ragu-ragu dengan apa yang diperkata pemaju kerana penduduk sudah menagih janji pemaju selama 10 tahun yang kononnya mahu membina susur berkenaan “Bagi penduduk kami tidak berpuas hati dengan janji pemaju pada hari ini (semalam). Bagaimana mahu mengguna pakai janji itu sedangkan janji yang dibuat kepada kami 10 tahun lalu sewaktu penduduk membeli rumah sehingga kini tidak dipenuhi.
“Malah, penduduk tambah kecewa kerana selepas berjanji selama 10 tahun dan projek pembinaan itu tidak diusahakan, baru kini pemaju hendak menghantar pelan lengkap pembinaan susur berkenan, sedangkan penduduk terpaksa menempuh kesesakan lalu lintas di dari Plaza Tol Rawang untuk ke sini sepanjang tempoh itu,” katanya.
Sementara itu, Rosham Kadiman, 36, berkata, apa yang dijanjikan pemaju dianggap ‘gula-gula’ pihak berkenaan untuk meredakan kemarahan penduduk selepas satu demonstrasi aman membabitkan 500 penduduk diadakan sebelum sesi dialog berkenaan.
“Bukan hanya tidak berpuashati, malah kami ragu dengan janji pemaju kerana hampir sepuluh tahun mendiami di BTP, pelbagai janji gagal dipenuhi termasuklah pembinaan infrastruktur dan jika ada pun kebanyakannya tidak memenuhi spesifikasi.
“Jika laluan susur itu boleh dibuat dalam masa dua tahun setengah, mengapa dari dulu pemaju tidak bersungguh-sungguh mencari jalan penyelesaian untuk membinanya. Ia hanya membabitkan laluan sepanjang kira-kira 440 meter, namun ia memakan masa lebih 10 tahun,” katanya.
Sesi dialog dan demonstrasi aman itu diadakan, bagi menyatakan bantahan penduduk terhadap kegagalan pemaju menunaikan janji kepada pembeli iaitu membina susur keluar dari BTP ke KLKSE sebagai laluan utama penduduk di situ sejak 10 tahun lalu.
Sementara itu, wakil pemaju yang juga pengarah salah sebuah anak syarikat pemaju terbabit Datuk Nordin Razak, berkata pihaknya berjanji akan mengemukakan pelan lengkap berhubung pembinaan laluan susur berkenaan kepada pihak berkaitan pada bulan hadapan.
Katanya, usaha pembinaan berkenaan menemui jalan buntu berikutan berlakunya masalah pengambilalihan tanah yang sehingga kini masih gagal dilaksanakan.
“Kita sudah nyatakan persetujuan untuk menanggung semua kos pembinaan yang terdiri daripada tiga fasa, fasa pertama iaitu pembinaan jambatan sudah bermula dan fasa kedua iaitu membuat terowong bakal menyusul di mana fasa-fasa ini akan dilaksanakan KLKSE yang dilantik.
“Bagaimanapun fasa ketiga iaitu membina laluan masuk dari persimpangan lebuh raya ke BTP, hanya boleh dilakukan apabila kami dapat mengambil alih hak milik tanah. Untuk itu, pelan lengkap mengenainya akan diserahkan kepada pihak berwajib pada bulan depan dan dianggarkan tempoh mengambil alih tanah memerlukan masa enam hingga 12 bulan, manakala pembinaan mengambil masa satu tahun setengah,” katanya menjawab persoalan penduduk mengenai tarikh susur berkenaan siap dilakukan.
Sementara itu, Ahli Parlimen Selayang, William Leong berkata, dalam usaha memastikan janji yang diberikan pemaju tertunai mengikut tempoh yang diberi, satu jawatankuasa yang akan dianggotai semua pihak dan agensi terbabit termasuk penduduk akan ditubuhkan untuk memantau proses perjalanan projek itu.
Note : Kena tunggu 3 tahun lagilah jawabnys... EXIT tu memang dekat sangat dengan rumah aku. Boleh dengar kerja-kerja sedang dijalankan.
Till Now.